Selasa, 1 April 2014

Formula 'SALAM' permudahkan penulisan 5 ayat Bahasa Malaysia UPSR

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,

Terlebih dahulu ingin saya nyatakan bahawa, tulisan dalam paparan ini hanyalah sebagai satu paduan yang mungkin boleh 'membuka jalan' kepada para pelajar dalam menjawab soalan Bahagian A, Kertas Penulisan Bahasa Malaysia UPSR (012). Bahagian ini diperuntukkan 10 markah daripada 60 markah keseluruhan. Oleh itu,  para pelajar harus menguasai bahagian ini untuk mempermudah mendapat gred A bagi Bahasa Malaysia Kertas Penulisan ini.

Formula 'SALAM' amat membantu para pelajar dalam membina lima (5) ayat berdasarkan gambar. Hal ini telah dibuktikan oleh anak-anak murid saya dalam sesi pengajaran saya selama ini. Formula SALAM bermaksud, siapa (S), aktiviti (A), lokasi (L), alat/adjektif (A), mengapa (M).

Bagaimana mempraktikan formula SALAM? 
Formula SALAM boleh dipraktikkan sepenuhnya atau dipendekkan formulanya menjadi SAL (siapa,aktiviti,lokasi), SAA (siapa, aktiviti, alat), SAAL (siapa, aktiviti, alat, lokasi), SAM (siapa, aktiviti, mengapa), SAA (siapa, aktiviti, adjektif) dll

Untuk membantu pemahaman anda, sila rujuk gambar di bawah yang ditandai dengan nombor 1 hingga nombor 5.
1. Budak perempuan itu menghiris bawang dengan berhati-hati. (SAA - siapa, aktiviti, adjektif) atau
    Faridah menghiris bawang dengan pisau di ruang dapur rumah mereka. (SAAL)
2. Ibu Faridah memotong daging untuk dibuat sate. (SAM - siapa, aktiviti, mengapa)
*** sebagai latihan anda, boleh mencuba gambar 3,4,5 - Selamat Belajar

sumber : http://www.youtube.com/watch?v=2Tpdxutua5U 

Sabtu, 10 Disember 2011

Pengenalan 2 - 'Aku Sudah Jatuh Cinta'


Pensel kamek tetap menjadi tajuk pilihan untuk blog ini, walaupun nama itu telah digunakan untuk blog pertama yang gagal itu. Hal ini demikian kerana 'aku sudah jatuh cinta' dengan nama tersebut. Pemilihan nama pensel diguna pakai untuk judul blog saya, kerana alat tulis ini sinonim dengan dunia pendidikan sementara perkataan 'kamek' yang sebenarnya dialek bahasa Melayu Sarawak membawa maksud saya. 'Kamek' merupakan kata ganti diri pertama yang sangat 'lembut' untuk membahasakan diri tanpa mengira status seseorang sama ada kanak-kanak, orang dewasa, orang tua kendatipun perdana menteri.

Sementara itu, akibat sindrom 'aku sudah jatuh cinta' dan minat yang semakin bercambah dalam membina blog menyebabkan saya teruja dan berinisiatif untuk membina blog sekolah pula. Hal ini demikian kerana saya menganggap blog sekolah boleh bertindak sebagai wadah dalam menyalurkan informasi kepada pelajar, warga kerja, masyarakat setempat dan masyarakat luar. Selain itu, saya khuatir ilmu yang sedikit dalam membina blog ini akan lenyap jika tidak diamal dan dikembangkan.Untuk itu, saya bangunkan tapak blog sekolah yang diberi nama skpayamebi.blogspot.com, dan berharap, ada inisiatif dalam kalangan rakan-rakan guru di SK Paya Mebi memurnikan blog tersebut, khususnya dalam menerbitkan apa-apa catatan baru untuk tatapan dan rujukan pengunjung blog.
Pengalaman masa lalu, amat berguna dan menjadi senjata ampuh tika  diperlukan. Pengalaman menjadi ketua sidang redaksi Majalah Al-Misbah iaitu majalah tahunan SMKA Sheikh Hj Othman, Matang, Kuching banyak membantu dalam pembikinan blog ini. Pengalaman ini juga, menyebabkan 'aku sudah jatuh cinta' dalam bidang penulisan, khususnya dalam penerbitan majalah sekolah namun perpindahan ke sekolah semasa, SK Paya Mebi di samping kesibukan sebagai pendidik dewasa ini, membataskan minat menulis tersebut. Kini, kewujudan blog 'pensel kamek' merupakan landasan terbaik dalam menerbitkan semula rasa cinta terhadap bidang penulisan. Saya berazam menjadikan "pensel-kamek.blogspot" bukan sekadar memenuhi kehendak tugasan krt 3013 tetapi sebagai satu wadah yang boleh memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi blog ini nanti. Mudah-mudahan  usaha saya ke arah itu dipermudahkan Allah yang Esa, khususnya dalam memberi kelapangan dan idea-idea bernas.

Jumaat, 9 Disember 2011

Pengenalan 1: Terpaksakah aku?

Salam 1 Malaysia buat semua pengunjung blog pensel kamek.
Sesetengah orang mengimpikan untuk membina dan memiliki blog sendiri. Saya pula cuma berkeinginan  memilikinya kerana saya tiada tujuan khusus untuknya.  Tugasan TMK KRT3013 memaksa saya untuk menunaikan keinginan tersebut, namun berdepan dengan cabaran yang cukup getir kerana tiadanya ilmu di dada dalam bidang ini. Ibarat si buta yang kehilangan tongkat saya teraba-raba mencari apa-apa maklumat yang dapat membantu dalam menyiapkan tugasan yang dianggap agak mencabar untuk semester 2 ini.Saya mengajukan permasalahan ini kepada bekas rakan sekumpulan, saudari Liching Ching yang pada waktu itu telah berjaya membina dan menerbit blognya http://pemulihankhasdisekolah.blogspot.com/. Beliau menyarankan saya mengklik paparan perkataan blogger dalam blognya dan mengikuti langkah-langkah seterusnya. Saya menuruti apa yang diperkatakan dan berjaya membina blog sendiri tetapi amat malang ketika mengedit mana-mana bahagian,  saya terpadam akaun gmail yang mengakibatkan blog itu dan apa-apa maklumat seperti video yang saya muat naik ke youtube melalui akaun gmail itu semuanya lenyap. Malang!!! 
Sungguhpun 'malang' namun saya sudah ada ilmu waima sedikit dalam membina blog. Saya belajar daripada kesilapan itu. Maklumat yang dikirim oleh Dr Maizatul Hayati bt Mohamad Yatim dalam https://myguru2.upsi.edu.my/modules/announcement/viewann.php?catalog=KRT3013&annID=10057&module pada 8 Oktober 2011 turut membantu dalam pembikinan blog kedua selain pandangan-pandangan rakan dan pensyarah penilai dalam kumpulan perbincangan KRT 3013 di facebook. Blog rakan-rakan juga turut  dijejaki dalam menjana idea di samping menjadi garis panduan agar tugasan ini tidak tersasar. Akhirnya blog pensel kamek mampu diterbitkan. Mungkin apa yang dipaparkan dalam blog ini tidak memenuhi kehendak pensyarah penilai, namun pengalaman-pengalaman 'sukar' yang dilalui dalam pembangunan blog ini menerbitkan rasa syukur dengan hasil yang ada.
Sungguhpun demikian, sejauhmana  blog yang dibina untuk memenuhi kehendak tugasan KRT 3013 ini akan berfungsi dan bermanfaat kepada khalayak pembaca?

Selasa, 18 Oktober 2011

EDDY dan Kem LINUS


Aksi yang dipertontonkan dalam video ini merupakan salah satu slot yang dijayakan dalam Kem Linus anjuran PPD Padawan pada 5 dan 6 Oktober 2011. Peserta-peserta kem merupakan pelajar linus tegar dari 29 buah sekolah dalam Daerah Padawan. Walaupun peserta-peserta kem belum mengenali antara satu dengan yang lain namun mereka cukup teruja, santai dan ceria menjayakan slot ini. Teknik didik hibur ini berjaya membuang perasaan resah di samping membangkitkan keyakinan dan semangat ingin mencuba dalam kalangan peserta bagi menjayakan slot tersebut. 

Pengendali slot memulakan sesinya dengan meminta peserta kem mengeja perkataan 'mama', 'sayang' dan 'papa'. Selepas itu, pengendali slot memetik gitar sambil menyanyikan perkataan-perkataan tersebut. Peserta-peserta kem diminta untuk menyanyi bersama-sama, dan apabila peserta kem telah bersedia dan cukup yakin, pengendali slot meminta pelajar tertentu tampil ke depan untuk menyampaikan lagu tersebut di hadapan rakan-rakan sepertimana yang dipaparkan dalam video ini.

Sesungguhnya, teknik didik hibur bukan setakat menghiburkan tetapi cukup bermakna dan berkesan serta memberi pengalaman berharga  kepada para pelajar. Saya percaya, ada dalam kalangan pelajar yang 'sukar' untuk melupakan pengalaman ini.

Falsafah Pendidikan Guru

"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."

Rabu, 12 Oktober 2011

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."