Selasa, 18 Oktober 2011

EDDY dan Kem LINUS


Aksi yang dipertontonkan dalam video ini merupakan salah satu slot yang dijayakan dalam Kem Linus anjuran PPD Padawan pada 5 dan 6 Oktober 2011. Peserta-peserta kem merupakan pelajar linus tegar dari 29 buah sekolah dalam Daerah Padawan. Walaupun peserta-peserta kem belum mengenali antara satu dengan yang lain namun mereka cukup teruja, santai dan ceria menjayakan slot ini. Teknik didik hibur ini berjaya membuang perasaan resah di samping membangkitkan keyakinan dan semangat ingin mencuba dalam kalangan peserta bagi menjayakan slot tersebut. 

Pengendali slot memulakan sesinya dengan meminta peserta kem mengeja perkataan 'mama', 'sayang' dan 'papa'. Selepas itu, pengendali slot memetik gitar sambil menyanyikan perkataan-perkataan tersebut. Peserta-peserta kem diminta untuk menyanyi bersama-sama, dan apabila peserta kem telah bersedia dan cukup yakin, pengendali slot meminta pelajar tertentu tampil ke depan untuk menyampaikan lagu tersebut di hadapan rakan-rakan sepertimana yang dipaparkan dalam video ini.

Sesungguhnya, teknik didik hibur bukan setakat menghiburkan tetapi cukup bermakna dan berkesan serta memberi pengalaman berharga  kepada para pelajar. Saya percaya, ada dalam kalangan pelajar yang 'sukar' untuk melupakan pengalaman ini.

Falsafah Pendidikan Guru

"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."

Rabu, 12 Oktober 2011

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."