Sabtu, 10 Disember 2011

Pengenalan 2 - 'Aku Sudah Jatuh Cinta'


Pensel kamek tetap menjadi tajuk pilihan untuk blog ini, walaupun nama itu telah digunakan untuk blog pertama yang gagal itu. Hal ini demikian kerana 'aku sudah jatuh cinta' dengan nama tersebut. Pemilihan nama pensel diguna pakai untuk judul blog saya, kerana alat tulis ini sinonim dengan dunia pendidikan sementara perkataan 'kamek' yang sebenarnya dialek bahasa Melayu Sarawak membawa maksud saya. 'Kamek' merupakan kata ganti diri pertama yang sangat 'lembut' untuk membahasakan diri tanpa mengira status seseorang sama ada kanak-kanak, orang dewasa, orang tua kendatipun perdana menteri.

Sementara itu, akibat sindrom 'aku sudah jatuh cinta' dan minat yang semakin bercambah dalam membina blog menyebabkan saya teruja dan berinisiatif untuk membina blog sekolah pula. Hal ini demikian kerana saya menganggap blog sekolah boleh bertindak sebagai wadah dalam menyalurkan informasi kepada pelajar, warga kerja, masyarakat setempat dan masyarakat luar. Selain itu, saya khuatir ilmu yang sedikit dalam membina blog ini akan lenyap jika tidak diamal dan dikembangkan.Untuk itu, saya bangunkan tapak blog sekolah yang diberi nama skpayamebi.blogspot.com, dan berharap, ada inisiatif dalam kalangan rakan-rakan guru di SK Paya Mebi memurnikan blog tersebut, khususnya dalam menerbitkan apa-apa catatan baru untuk tatapan dan rujukan pengunjung blog.
Pengalaman masa lalu, amat berguna dan menjadi senjata ampuh tika  diperlukan. Pengalaman menjadi ketua sidang redaksi Majalah Al-Misbah iaitu majalah tahunan SMKA Sheikh Hj Othman, Matang, Kuching banyak membantu dalam pembikinan blog ini. Pengalaman ini juga, menyebabkan 'aku sudah jatuh cinta' dalam bidang penulisan, khususnya dalam penerbitan majalah sekolah namun perpindahan ke sekolah semasa, SK Paya Mebi di samping kesibukan sebagai pendidik dewasa ini, membataskan minat menulis tersebut. Kini, kewujudan blog 'pensel kamek' merupakan landasan terbaik dalam menerbitkan semula rasa cinta terhadap bidang penulisan. Saya berazam menjadikan "pensel-kamek.blogspot" bukan sekadar memenuhi kehendak tugasan krt 3013 tetapi sebagai satu wadah yang boleh memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi blog ini nanti. Mudah-mudahan  usaha saya ke arah itu dipermudahkan Allah yang Esa, khususnya dalam memberi kelapangan dan idea-idea bernas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan