refleksi P&P


Bahasa Malaysia
Kelas Pemulihan Tahun 3
Bilangan Pelajar : 12 orang
Tajuk : Jam Yang Malang

Objektif pengajaran dan pembelajaran
  1. Pelajar dapat membentuk perkataan dengan menyusun abjad-abjad yang disenaraikan pada lembaran kerja.
  2. Pelajar dapat membaca mekanis cerita Jam Yang Malang dengan sedikit kesalahan.

Langkah P&P

Set Induksi : 
  • Guru paparkan gambar jam dinding terjatuh pada paparan slaid.
  • Guru dan pelajar bersoaljawab tentang gambar tersebut.

Langkah 1
  • Pelajar diterangkan tentang peraturan Bahagian Pencapaian Pasukan Murid (BPPM) iaitu setiap aktiviti kumpulan akan diberi markah dan kumpulan yang menang akan ditentukan dengan markah tertinggi.
  • Pelajar mengeja perkataan-perkataan yang dipaparkan pada slaid mengikut giliran kumpulan masing-masing. Satu (1) markah akan diberikan kepada setiap perkataan yang  dapat dieja dengan betul.Perkataan-perkataan yang dieja merupakan perkataan-perkataan yang terdapat dalam petikan cerita.

Langkah 2
  • Guru membaca ayat demi ayat dan disusuli oleh semua pelajar.
  • Setiap kumpulan diberi peluang membaca petikan itu sebelum bacaan dinilai untuk diberi markah.
  • Penilaian bacaan setiap kumpulan oleh guru. Markah penuh 100% jika tiada kesalahan. Markah akan ditolak bergantung kepada jumlah kesalahan yang dilakukan oleh setiap kumpulan.

Langkah 3 (seperti paparan video) - objektif 1
  • Setiap kumpulan diagihkan 1 lembaran yang mengandungi sepuluh perkataan yang tidak lengkap susunan abjadnya, contoh (n a k a) perlu diperbetul menjadi (a n a k).
  • Setiap kumpulan dikehendaki berbincang bagi menyelesaikan sepuluh perkataan tersebut dalam masa yang ditetapkan.
  • Apabila masa tamat, guru kumpul semua kertas lembaran dan diagih kepada kumpulan berlainan untuk disemak.
  • Setiap kumpulan akan menyemak jawapan kumpulan lain berpandukan jawapan guru.

Penutup
  • Guru mengumumkan markah yang diperoleh setiap kumpulan dan kumpulan yang memenangi akativiti pembelajaran hari tersebut. Guru juga mengingatkan bahawa markah tersebut akan dikumpul untuk pertandingan pada p&p akan datang.

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Kekuatan 
Pada pandangan saya p&p ini menyeronokkan dan berkesan. Wujud juga persaingan yang sihat antara kumpulan dalam aktiviti ejaan, bacaan dan aktiviti menyusun abjad bagi membentuk perkataan yang dikehendaki (seperti paparan video). Selain itu, p&p ini juga banyak bertumpu kepada pelajar / berpusatkan pelajar. Idea untuk mengguna teknik ini, saya peroleh daripada modul Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran KPD3016 & KPD 3026-Jilid 2 iaitu pembelajaran kooperatif melalui teknik Bahagian Pencapaian Pasukan Murid (BPPM) yang diperkenalkan oleh Slavin (1986)


Kelemahan
Aktiviti p&p ini akan didominasi oleh pelajar yang bijak sementara yang lemah hanya bertindak sebagai penumpang. Perkara ini jelas sepertimana yang ditonjolkan oleh pelajar yang menunjukkan isyarat 'peace'. Ada kemungkinan pelajar ini akan terus ketinggalan lebih-lebih lagi pada pelajar pemulihan yang sememangnya lemah.

Cadangan Penambahbaikan.
Saya berkesempatan juga menggunakan teknik ini untuk p&p berikutnya. Antara penambahbaikan yang saya lakukan adalah memperuntukkan aktiviti individu tetapi turut menyumbang markah kepada kumpulan. Bagi aktiviti ejaan, pelajar-pelajar lemah diberi ejaan yang agak mudah berbanding pelajar yang agak bijak, manakala bagi aktiviti bacaan pula, boleh disuruh membaca ayat berbanding perenggan atau petikan.

Lembaran kerja
Eviden Pengayaan

Bahasa Malaysia
Kelas Pemulihan Tahun 2 & Tahun 3
Bilangan pelajar : 6 orang
Tajuk : Abjad g - k

Objektif  Pengajaran dan Pembelajaran
  1. Pelajar dapat memadankan  5 daripada 7 gambar dengan abjad yang betul
  2. Pelajar dapat menyatakan secara lisan abjad-abjad yang dipaparkan pada slaid berdasarkan gambar.

Perkembangan  P&P

Set Induksi :
  • Pengajaran dimulakan dengan nyanyian abc daripada CD Titian Sinar, para pelajar mengikut lagu tersebut berpandukan paparan LCD.
  • Semua pelajar diminta untuk menyanyikan lagu abc, tanpa iringan lagu daripada CD sambil bertepuk tangan.
  • Guru meminta pelajar tertentu untuk menyanyikan semula lagu tersebut.
Langkah 1
  • Guru meminta pelajar tertentu mengenal semula huruf a - f  yang dipelajari sebelum ini berdasarkan gambar yang dipaparkan melalui slaid.
  • Guru meminta pelajar menyatakan gambar pada slaid. Selepas itu guru meminta pelajar menyatakan abjad yang betul untuk gambar itu, contohnya gambar gam - huruf 'g'
Langkah 2
  • Guru meminta pelajar tertentu tampil ke depan untuk memilih padanan gambar dan abjad yang betul pada paparan slaid. Contohnya gambar gam - abjad yang dipaparkan b,q,e,g
Langkah 3
  • Lembaran Kerja - Pelajar diminta untuk memadankan gambar dengan abjad yang betul (lihat contoh di atas)
  • Pengukuhan - Pelajar yang sudah siap diminta menyebut huruf-huruf yang terdapat pada lembaran sebelum lembaran tersebut disemak.
  • Aktiviti Pengayaan diberikan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menyiapkan lembaran dengan betul
Penutup
Nyanyian lagu abc mengikut CD Sinar Titian

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran


Kekuatan
Pelajar-pelajar kelas pemulihan bukan seperti pelajar-pelajar biasa. Mereka merupakan pelajar yang cukup istimewa dan sangat mencabar kewibawaan guru lantaran sikap mereka yang sangat mengujakan. Terlalu aktif dan terlalu pasif antara perwatakan ketara yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar pemulihan khas di samping terlalu cepat bosan akan satu-satu perkara. Justeru itu, mengajar kelas pemulihan bukan mudah seperti yang disangkakan walaupun pelajarnya sedikit.
Untuk p&p ini, penggunaan medium IT seperti komputer riba, LCD dan pembesar suara merupakan satu kekuatan dalam menarik dan mengekalkan perhatian pelajar untuk mengikuti perkembangan p&p. Selain itu gambar-gambar yang dipaparkan pada slaid juga dapat memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar tentang sesuatu perkara atau konsep, contohnya gambar helang dapat memberi kefahaman kepada pelajar tentang rupa dan bentuk burung helang. Hal ini demikian kerana ada dalam kalangan pelajar saya (Eddy) yang tidak mengetahui akan burung helang. Perkara ini mungkin disebabkan oleh pengaruh bahasa ibunda; helang sama dengan 'menaul'. Kelebihan penggunaan gambar dalam mengajar abjad juga memberi impak yang positif dalam kalangan pelajar, contohnya; Eddy akan dapat menulis huruf 'h' kalau dikatakan 'h' untuk helang,  'g' untuk gam dll (lihat eviden pengayaan) . Pada keseluruhannya, objektif p&p pada hari tersebut tercapai.

Kelemahan
Walaupun p&p ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya namun wujud juga kepincangan yang perlu kepada penambahbaikan. Antaranya, keterujaan pelajar-pelajar saya dalam menyanyikan lagu 'abc' menyebabkan saya melayani permintaan mereka untuk mengulangi lagu tersebut beberapa kali. Akibatnya masa yang dihadkan untuk slot tersebut melebihi daripada yang sepatutnya. Selain itu, p&p ini juga banyak berfokus kepada interaksi dua hala yang boleh menyebabkan pelajar bosan.

Cadangan Penambahbaikan
Sesuatu yang kelihatan sempurna belum tentu sempurna kalau diamati dan diteliti. Kekurangan yang ada pula bukan penghalang untuk menjadi yang lebih baik jika mahu memperbaikinya. Untuk p&p ini, jika saya diberi peluang kedua mengajarnya saya akan selitkan teknik didik hibur, iaitu pelajar-pelajar menyanyi sambil menunjukkan abjad yang berkaitan apabila CD lagu  'abc' dihentikan (setiap pelajar dibekalkan dengan abjad-abjad tertentu). Aktiviti ini saya lakukan selepas set induksi, iaitu sebagai kesinambungan lagu 'abc' di samping memenuhi minat pelajar yang sangat teruja dengan aktiviti nyanyian. Dalam masa yang sama saya perlu bertegas dengan kawalan masa.


Lembaran 1
Lembaran 2

Bahasa Malaysia
Kelas Pemulihan Tahun 2 & 3
Tajuk : Perkataan KV + KV
Tarikh : 5 September 2011
Bilangan pelajar : 6  orang

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
  1. Pelajar dapat memilih perkataan KV+KV yang betul untuk dilengkapkan pada gambar.
  2. Pelajar dapat memadankan suku kata awal KV dengan memilih suku kata akhir KV bagi membentuk perkataan KVKV berdasarkan gambar pada slaid.
Perkembangan  p&p
Set Induksi :
  • Pengajaran dimulakan dengan pelajar menyusun 'puzzle' gambar cili.
  • Setelah 'puzzle' sempurna, guru bersoaljawab tentang gambar tersebut: benda apa? Apa rasa cili?
  • Guru minta pelajar mengenal bunyi yang terkandung dalam sebutan cili = 'ci' + 'li'
Langkah 1
  • Guru minta pelajar nyatakan benda / objek / binatang yang mempunyai sebutan 2 suku kata.
  • Guru paparkan slaid dan tunjukkan gambar satu persatu sambil meminta pelajar menamakan gambar pada paparan tersebut.
  • Guru meminta pelajar mengeja suku kata KV+KV berdasarkan setiap gambar yang dipaparkan
Langkah 2
  • Guru meminta pelajar tertentu tampil ke depan untuk memilih gambar yang betul berpandukan ejaan KV+KV yang betul, contoh ejaan 'dadu' gambar yang dipaparkan gambar duri-gigi-dadu-guli.
  • Pelajar itu diminta mengeja semula perkataan KV+KV (dadu) itu.
Langkah 3 - objektif 2
  • Pelajar tertentu tampil ke depan kelas untuk memilih suku kata akhir yang dapat dipadankan dengan suku kata awal bagi membentuk perkataan KV+KV berdasarkan gambar, contoh gambar dadu - suku kata awal telah disediakan dan pelajar dikehendaki memilih suku kata akhir sama ada di - du - da atau ta.
  • Pelajar tersebut diminta mengeja semula perkataan KV+KV yang terbina hasil daripada padanan tadi.
Langkah 4
  • Guru minta setiap pelajar bereskan lembaran kerja 1 iaitu memilih perkataan KV+KV yang disenaraikan untuk diisi pada tempat kosong berdasarkan gambar.
  • Pelajar yang telah siap diminta untuk mengeja semula satu persatu perkataan tersebut sebagai penilaian lisan. Pelajar yang berjaya diberi lembaran kerja 2.
Penutup
  • Guru merumus p&p dengan mengajak pelajar mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Justeru itu pelajar diminta untuk mengeja kembali perkataan-perkataan KV+KV berkenaan.
Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Kekuatan
Pengajaran bermula dengan set induksi yang cukup mengujakan pelajar. Puzzle sememangnya ada tarikan tersendiri dan mampu menarik minat pelajar dalam aktiviti p&p. Langkah 1 juga sangat baik dalam menilai pengetahuan sedia ada pelajar berhubungan kepekaan mereka terhadap benda-benda di sekeliling. Ternyata pelajar-pelajar pemulihan sukar untuk menjawab persoalan ini. Pada hemat saya mereka bukan tidak mampu menjawab persoalan itu tetapi membayangkan benda /objek / binatang yang boleh dieja dengan suku kata KV+KV, itu yang sukar, namun langkah 1 ini diharap dapat menanam keinginan mengeja benda-benda di sekeliling dalam kalangan pelajar-pelajar pemulihan. Pengalaman yang kita dan anak-anak kita lalui mengesahkan bahawa mengeja benda-benda di sekeliling menjadi permainan semasa zaman kanak-kanak. Dalam langkah 1 itu juga, pelajar turut diminta untuk menamakan objek/benda yang dipaparkan. Untuk aktiviti ini pelajar berjaya menamakan benda /objek tersebut kecuali objek roda dan duri.
Kepelbagaian aktiviti dalam p&p ini juga merupakan satu kelebihan yang patut dikekalkan lebih-lebih lagi dalam melayan pelajar-pelajar pemulihan yang cepat bosan. Aktiviti memadan memang menjadi kesukaan mereka kerana sesuai dengan aras/ tahap pemikiran mereka. Penggunaan elemen IT memang menjadi sajian p&p saya kerana bilik pemulihan memang dibekalkan dengan kemudahan IT seperti layar, LCD, pencetak dan komputer riba, lagipun untuk setiap tajuk yang saya ajar memang memiliki koleksi BBM yang kebanyakannya dalam bentuk power point dan lembaran-lembaran kerja.

Kelemahan
Untuk p&p ini, ada dalam kalangan pelajar-pelajar ini terlalu cepat membereskan kedua-dua lembaran kerja ini. Apabila ini berlaku, kawalan kelas agak longgar dan pelajar-pelajar berkenaan mula menimbulkan masalah dalam kelas, dalam masa yang sama perhatian perlu diberi kepada pelajar lemah yang memerlukan bimbingan individu.

Cadangan Penambahbaikan.
Penambahbaikan bahan-bahan pengajaran memang menjadi keutamaan saya. Oleh sebab BBM saya, kebanyakkannya dalam bentuk power point maka ada elemen-elemen tertentu dalam slaid tersebut akan ditambah atau digugurkan. Demikian juga halnya dengan lembaran-lembaran kerja, ada antaranya perlu kepada pengubahsuaian agar lebih sesuai dan bermakna terhadap pembelajaran pelajar.
Sebagai langkah penambahbaikan untuk p&p ini pula, saya cadangkan agar pelajar-pelajar ini dilibatkan deria rasanya juga. Sesi pengajaran saya ini dan selama ini banyak berfokus kepada deria lihat dan deria dengar sahaja dan menggabaikan aplikasi deria rasa sebagai satu komponen yang dapat membantu pelajar menguasai pelajarannya.Untuk p&p ini saya patut menyuruh pelajar merasa cili, merasa ketajaman duri ataupun memegang tali. Sekurang-kurangnya saya memberi pengalaman kepada mereka. Hal ini memang disarankan oleh Dr. Ong Puay Hoon, presiden Persatuan Disleksia Sarawak dalam seminarnya yang saya hadiri pada 30 November 2011 baru-baru ini.

Catatan Tambahan
Apa-apa pun saya amat bersyukur kerana pelajar paling lemah dalam kelas ini semakin menunjukkan kemajuan (lihat lembaran kerja). Pelajar ini mampu mengikuti p&p saya dengan baik pada hari ini. Sungguhpun demikian pelajar ini sebenarnya masih belum menguasai dan mengenal abc hingga z tetapi mampu untuk mengeja perkataan KV+KV dengan baik. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil di kelas saya dan saya tidak menyekat pelajar ini untuk belajar kemahiran baru seperti KV+KV atau KV+KVK. Pada masa yang sama saya turut mengajarnya mengenal abc - z  melalui gambar dan kaedah ini amat berkesan. Misalnya dia terlalu sukar untuk mengingat huruf 'h' tetapi apabila dinyatakan 'h' untuk helang, secara automatik pelajar ini boleh menulis huruf 'h' itu. Pada saya, mengajar pelajar pemulihan ibarat menanam biji-biji betik yang ada antaranya tidak tumbuh serta merta seperti biji-biji yang lain. Sementara kita berharap, tumbuhnya tidak kelihatan, dan pada suatu ketika yang lain pula ia tiba-tiba muncul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan